Restu Orang Tua

>> Thursday, June 4, 2009

Apabila kita berbicara mengenai restu tua sudah semestinya kita akan memikirkan mengenai restu kedua ibu bapa kita. Namun sebelum berbincang lebih mendalam mengenai restu orang tua, kita harus faham apa itu restu dan bagaimanakah ia mempengaruhi kehidupan kita sebagai seorang pelajar.

Restu merupakan berkat atau keberkatan daripada seseorang terhadap perkara yang kita lakukan yang menyenangi hati dan perasaan mereka. Sebagai contoh menolong orang yang memerlukan. Apabila kita menolong mereka, mereka akan berasa senang hati dan memberi restu kepada kita dengan cara mendoakan kita. Namun doa mereka tidak semestinya dilafazkan di mulut mereka tetapi mereka mendoakan kita di dalam hati mereka seperti, ”semoga kamu berjaya dalam hidup”. Itulah restu.

Restu tidak semestinya hanya terletak kepada kedua orang ibu bapa kita. Ia boleh terletak kepada sesiapa sahaja yang berada disekeliling kita tidak kira adik-beradik kita, guru-guru, rakan-rakan malahan orang yang kita tidak kenali. Sebab itu, kita sebagai seorang pelajar yang cemerlang harus menjaga setiap perkara yang kita lakukan terutama kata-kata yang kita lafazkan. Ini kerana tanpa kita sedari, dengan kata-kata dapat menyinggung perasaan manusia, sebab itu kata-kata itu di ibaratkan lebih tajam daripada pedang, kerana dapat menusuk terus ke hati manusia.

Sebagai pelajar, keberkatan amat diperlukan dalam menjamin kecemerlangan kita dalam peperiksaan. Ini kerana walau setinggi gunung pun usaha kita tetapi tiada kerestuan atau keberkatan, kita tidak akan berjaya. Oleh itu, kita harus menjaga hati dan perasaan semo\ua orang walau dengan apa jua sekalipun.
Sebagai seorang anak, kita haruslah menyenangi perasaan ibu dan bapa kita dengan menggembirakan mereka seperti belajar bersungguh-sungguh. Tidak menjatuhkan maruah keluarga sehingga membuatkan mereka kecewa dan juga mengikut segala arahan mereka serta tidak melawan cakap mereka.

Sebagai seorang pelajar pula, untuk menjaga hati dan perasaan seorang guru, kita haruslah menumpukan perhatian yang penuh semasa proses pengajaranya berlangsung. Menunjukkan rasa minat terhadap subjek yang dipelajari. Ini adalah kerana guru akan berasa lebih gembira jika mereka tahu bahawa pelajarnya minat terhadap subjek yang diajarnya serta segera menyiapkan kerja sekolah serta nota yang disuruh buat.
Sebagai seorang rakan pula, anda harulah menjaga perasaan mereka dengan tidak mengumpat di belakang mereka. Jujur dalam persahabatan. Ikhlas berkawan bukan kerana dia kaya ataupun pintar serta seboleh-bolehnya menolong mereka sewaktu mereka menghadapi masalah.

Bagaimana pula kalau kita tidak direstui? Ada diantara kita tertanya. ”Aku setiap hari ke kelas tuisyen, latihan sekolah sentiasa aku siapkan, nota aku habiskan, malam-malam aku study sampai tengah malam tetapi kenapa result aku tak pernah cemerlang?”. Ini adalah sebenarnya mungkin kerana kita telah menyinggung perasaan seseorang tanpa kita sedari. Walaupun orang tersebut hanya tersinggung sedikit, namun kesanya amatlah besar.

Oleh itu, kita haruslah segera memohon maaf kepada semua orang yang kita berbicara terutamanya ditahun kita menghadapi peperiksaan. Walaupun kita rasa kita tidak melakukan kesilapan, namun mereka mungkin tersinggung. Sebab itu, dalam apa jua majlis, pengerusi majlis akan berkata,” maafkan saya jika saya tersilap bicara atau terkasar bahasa, segala kekurangan haraplah dimaafkan”. Ini kerana mereka bimbang menyinggung perasaan. Sebulan sebelum peperiksaan berlangsung, sebaik-baiknya kita memohon maaf dengan semua teruatamanya daripada ibu bapa, guru-guru dan rakan supaya diri kita akan berasa lebih tenang menjelang peperiksaan.

0 comments:

Mengenai blog

Wadah Kejayaan~ Sebuah blog mengenai pandangan penulis terhadap aspek kehidupan dirinya. Pandangan nya mungkin berbeza dan ada yang tidak disetujui. Namun itulah fitrah manusia yang subjektif, menilai persekitaran dari sudut yang berbeza...

Sponcered By

Followers

GeoMap.:bloggermaps:.


  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP