Langkah-langkah untuk mengenal pasti adanya penyakit ini
ialah melalui pergaulan sesama manusia. Melalui pergaulan,
akan dapat dikesan sifat sombong sama ada sombong yang
keterlaluan, sederhana atau ringan.
Apakah tanda-tanda seseorang itu memiliki sifat sombong?
Di antaranya:
1. Payah menerima pandangan orang lain sekalipun hatinya
merasakan pandangan orang itu lebih baik daripadanya.
Apatah lagi kalau pandangan itu datang daripada orang
yang lebih rendah daripadanya sama ada rendah umur,
pangkat atau lain-lain lagi.
2. Mudah marah atau emosional. Bila berlaku perbincangan
dua hala, cepat tersinggung atau cepat naik darah kalau ada
orang tersilap atau tersalah.
3.. Memilih-milih kawan. Suka berkawan hanya dengan orang
yang satu 'level' atau sama taraf dengannya. Manakala
dengan orang bawahan atau lebih rendah kedudukannya,
dia tidak suka bergaul atau bermesra, takut jatuh status
atau darjat dirinya. Bahkan dengan orang yang sama level
dengannya pun masih dipilih-pilih lagi. Yakni dia suka
dengan orang yang mahu mendengar dan mentaati katakatanya.
Mereka inilah saja yang dia boleh bermesra, duduk
sama atau semajlis dengannya.
4. Memandang hina pada golongan bawahan.
5. Dalam perbahasan atau perbincangan, selalunya dia suka
meninggikan suara atau menguatkan suara lebih daripada
yang diperlukan.
6. Dalam pergaulan dia suka kata-katanya didengari, diambil
perhatian dan diikuti. Sebaliknya di pihaknya sendiri, susah
untuk mendengar cakap atau nasihat orang lain serta tidak
prihatin dengan cakap orang. Apatah lagi untuk mengikut
cakap orang lain.
7. Dalam pergaulannya, dia saja yang memborong untuk bercakap
dan tidak suka memberi peluang kepada orang lain
bercakap.. Kalau ada orang lain bercakap, dia suka memotong
percakapan orang itu.
8. Kalau dia jadi pemimpin, dia memimpin dengan kasar dan
keras terhadap pengikut-pengikutnya atau orang bawahannya.
Ia membuat arahan tanpa timbang rasa dan tidak ada
perikemanusiaan. Kalau dia menjadi pengikut, susah pula
untuk taat dan patuh pada pemimpinnya.
9. Susah hendak memberi kemaafan kepada orang yang tersilap
dengannya. Bahkan ditengking-tengking, diherdik,
dikata-kata atau dihina-hina. Di belakangnya diumpatumpat.
10. Kalau dia yang bersalah, susah dan berat hendak minta
maaf. Rasa jatuh wibawa bila merendah diri meminta maaf.
Bahkan dia tidak mengaku bersalah.
11.. Dia suka dihormati. Tersinggung kalau tidak dihormati. Tetapi
dia sendiri susah atau berat untuk menghormati orang
lain.
12. Mudah berdendam dengan orang lain terutamanya bila
orang itu tersilap.
13. Suka menzalimi orang sama ada secara kasar atau secara
halus.
14. Kurang bermesra dengan orang kecuali terpaksa kerana
perlukan orang itu atau kerana takutkan orang itu.
15. Suka memperkatakan keburukan orang seperti mengumpat,
memfitnah serta membenci orang.
16. Kurang menghormati pemberian orang atau tidak menghargai
pemberian orang lain.
17. Suka mengangkat-angkat diri atau menceritakan kelebihan
diri.
18. Suka menghina dan menjatuhkan air muka orang di hadapan
orang lain.
19. Kurang menghormati nikmat-nikmat Allah. Kalau ada
makanan, berlaku pembaziran atau membuang makanan
yang berlebihan. Kalau ada pakaian walaupun masih elok
dipakai tetapi suka berganti dengan yang baru. Pakaian
yang lama dibuang. Kalau ada duit lebih, suka beli barang
yang tidak diperlukan. Semua itu lebih digemari daripada
memberi nikmat yang berlebihan itu kepada orang lain.
20. Kalau berdiri, lebih suka bercekak pinggang (kerana membesarkan
diri). Kalau bercakap, menepuk-nepuk meja dan
suka mencemik. Kalau berjalan suka bergaya, menghentakhentak
kaki atau berjalan membusung dada.
21. Kurang memberi simpati atau kurang menolong orang
lain melainkan ada tujuan-tujuan dunia atau kerana takut
dengan orang itu.
22. Kurang minat menerima tetamu atau tidak suka jadi tetamu
orang.
23. Tidak suka menyebut kelebihan-kelebihan orang lain kerana
takut mencabar dirinya.
24. Kesalahan-kesalahan orang lain dibesar-besarkan sedangkan
kesalahan sendiri didiamkan, disorokkan, buat-buat
tidak tahu atau cuba mempertahankan diri supaya orang
menganggap dia tidak bersalah.
25. Sangat tidak senang dengan kejayaan atau kebolehan orang
lain.
26. Dia sangat tersinggung kalau ada orang memuji-muji atau
menyebut kelebihan-kelebihan orang lain di hadapannya.
Tetapi kalau dia dipuji, terserlah pada air mukanya rasa
bangga dan senang hati..